KUALA LUMPUR: Selepas penyanyi dan komposer tersohor Kollywood, Anirudh Ravichander, kini maestro muzik legenda India, Ilaiyaraaja, 79, bakal mengimbau nostalgia lima dekad menerusi Konsert Ilaiyaraaja Live In Kuala Lumpur di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam ini.
Sepatutnya, konsert berkenaan berlangsung pada Mac lalu, namun ditunda akibat penularan pandemik COVID-19.
Demi tidak mengecewakan peminat, penyanyi yang juga maestro muzik yang karyanya cukup dikenali dalam filem Tamil dan Telugu itu sanggup terbang ke Malaysia dengan diiringi 50 pemuzik bagi merealisasikan impian yang sekian lama tersemat di sanubari.
Konsert durasi empat jam yang dibawakan oleh penganjur, Mojo Projects Sdn Bhd dijangka bakal dihadiri lebih 8,000 penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna Kumar Nadarajan, berkata pihaknya bersyukur dapat mempelbagaikan cabang perniagaan dan terus bertahan ketika industri muzik terhenti disebabkan penularan pandemik COVID-19.
“Sepanjang tempoh dua tahun ini, kami hanya fokus kepada penerbitan konsert dan video muzik untuk siaran televisyen.
“Dapat kembali menganjurkan konsert menerusi Ilaiyaraaja Live In Kuala Lumpur bagaikan satu rahmat. Mulanya, kami sendiri tidak yakin konsert ini mampu diteruskan.
“Banyak perubahan berlaku sejak penularan COVID-19, namun Ilaiyaraaja berjanji tidak membatalkan konsert ini. Ia sesuatu yang sangat dihargai,” katanya.
Ilaiyaraaja atau nama sebenarnya, R Gnanathesikan adalah karyawan seni yang tidak asing dalam industri perfileman Kollywood sebagai pengarah muzik, komposer, penyanyi dan penulis lirik.
Beliau diiktiraf sebagai komposer Asia pertama menghasilkan skor simfoni dan mencipta trend muzik dalam filem dengan menyuntik elemen muzik barat di India.
Selain India, maestro muzik itu juga pernah berkerja untuk filem Malayalam, Telugu, Kannada dan Hindi sebagai pengarah muzik.
Pada Julai lalu, beliau dicalonkan sebagai Ahli Parlimen selepas sekian lama menanti peluang menceburi bidang politik.
Sepanjang 46 tahun bergelar pejuang muzik, Ilaiyaraaja sudah menghasilkan lebih 1,000 skor muzik untuk filem.
Secara keseluruhan, beliau sudah mencipta hampir 7,000 lagu dan pernah meraih lima anugerah peringkat kebangsaan.
Kreativiti dan semangat terhadap dunia muzik tidak pernah pudar biarpun pada usia 79 tahun. Kebanyakan karya ciptaannya kekal sebagai lagu evergreen sehingga kini.
Karya ciptaannya bukan sekadar mempertaruhkan muzik, malah mempunyai cerita, kostum dan elemen orkestra.
Sekitar 1980-an, Ilaiyaraaja umpama sumber muzik kepada industri filem Tamil. Pada era itu, filem ditayangkan pada hari istimewa seperti Ponggals, Tahun Baharu dan Deepavali yang dihasilkan Ilaiyarajaa sering mencipta kejayaan.
Lelaki kelahiran Pannaipuram, Tamil Nadu itu sering mencipta magis dan menjanjikan pulangan tidak sia-sia dengan lagu tema hebat ciptaannya.
Menerusi karya sulungnya, Annakili pada 1976, Ilaiyaraaja berjaya membawakan perubahan kepada industri muzik dengan pelbagai genre lagu. Antara sumbangan termasuklah membawa perubahan kepada struktur lagu dalam filem.
Selain Ilaiyaraaja, konsert berkenaan turut menampilkan anak mendiang SP Balasubrahmanyam iaitu SPB Charan, Mano, Yugendran Vasudevan, Karthik, Shweta Mohan, Mukesh, Madhu Balakrishnan dan Anitha Karthigeyan.
Tiket menyaksikan Ilaiyaraaja Live In Kuala Lumpur boleh diperoleh menerusi www.excitix.com.my.
Sumber : Berita Harian