Nama Erra Fazira terus menjadi pilihan ramai pengarah dan produksi untuk terbabit dalam naskhah mereka.
Terbaru, primadona filem Melayu ini telah diberi mandat membawa watak utama dalam filem seram berjudul Rumah. Menurut Erra, pengalamannya sebagai seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan membuatkannya bersetuju untuk menerima tawaran beraksi dalam filem tersebut. Malah, Erra akui wataknya di dalam Rumah begitu dekat dengan pengalaman hidup.
“Saya tertarik dengan apa yang mendiang beritahu dan gambarkan sementelah saya juga seorang ibu tunggal kepada seorang anak perempuan.
“Jadi sedikit sebanyak saya ada pengalaman yang berkait dengan jalan cerita filem ini,” kata Erra kepada Murai.my
Kongsi Erra lagi, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah ketika bergandingan dengan Puteri Balqis kerana menganggap pelakon berkenaan seperti anaknya. Untuk rekod, ini bukan kali pertama kedua-dua figura ini digandingkan bersama.
“Sebagai pelakon kita berikan yang terbaik dan hasilnya ialah secara berpasukan. Saya puji muzik filem ini menarik.
“Mendiang pengarahnya juga seorang yang sangat berani memberi peluang kepada bakat baharu dalam filem arahan ya dan bagi saya ia satu hal yang positif,” katanya.
Mengenai penerimaan penonton terhadap filem lakonannya itu, Erra menyerahkan kepada mereka untuk menilai.
“Saya sangat positif apabila menerima tawaran dan bila hasilnya siap adalah sesuatu yang di luar kawalan,” katanya lagi
Filem Rumah arahan mendiang Kay bakal menemui penonton pada 24 Februari ini dan difahamkan sepanjang penggambaran produksi turut mengalami pelbagai kejadian mistik dan aneh. Rumah mengisahkan mengenai ibu tunggal dan anak perempuannya yang berdepan dengan pelbagai kejadian menakutkan setelah mendiami rumah baru mereka.
URL link : https://murai.my/2022/138977/filem-rumah-erra-fazira/