KUALA LUMPUR: Membuka tirai konsert 2023, penganjur, Mojo Projects Sdn Bhd akan mementaskan lima konsert gah yang bakal berlangsung dalam tempoh beberapa bulan ini.
Melalui siri konsert ini, Mojo Projects cukup dikenali sebagai penganjur beberapa siri konsert hebat menyasarkan menghasilkan lima konsert yang lebih intim dengan penonton dengan memilih lokasi lebih kecil dan selesa, lantas memberikan pengalaman berbeza buat penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna K Nadarajan berkata, lima konsert yang bakal dipersembahkan bagi menghargai sokongan peminat yang menyokong setiap persembahan diadakan.
“Kami mahu menghargai peminat dan mengambil serius maklum balas yang diterima daripada konsert terdahulu.
“Jadi, kami sentiasa mencari cara untuk menambah baik pengalaman dalam konsert yang diadakan.
“Kami percaya persembahan lebih kecil dan intim dapat merapatkan hubungan antara penghibur dan peminat yang tidak dapat dilakukan menerusi konsert besar,” katanya kepada BH Online.
Istimewanya, Mojo Projects menawarkan Super Fan Pass berharga RM1,388 untuk lima konsert yang bakal dipersembahkan.
Dengan pas istimewa ini, peminat mempunyai akses kepada pelbagai faedah termasuk tempat duduk semua akses, pek hadiah eksklusif dan pertemuan dengan penyanyi yang mengadakan persembahan.
Buat permulaan, Mojo Projects menampilkan penyanyi veteran bertaraf legenda dari India, K S Chithra yang bakal menghiburkan peminatnya di di Zepp KL, esok (Sabtu).
Chithra akan muncul dalam konsert secara intim, lantas menjanjikan persembahan yang belum pernah disaksikan peminat di Malaysia.
Dikenali sebagai ‘chinna kuyil’ di India Selatan, Chithra sudah bergelar penyanyi sejak lebih 40 tahun lalu.
Lebih 25,000 lagu nyanyiannya sentiasa berada di tangga teratas carta, Chithra pernah menerima enam anugerah peringkat kebangsaan dan 35 anugerah tempatan, namun masih kekal sederhana serta komited dengan kerjayanya.
Bapanya memupuk bakat penyanyi wanita ini dengan menjadi guru pertama. Chithra adalah satu-satunya penyanyi ‘playback’ yang diiktiraf empat kerajaan negeri di India Selatan atas sumbangannya.
Beliau pernah menghasilkan album dalam bahasa Hindi, Piya Basanti dan Sunset Point. Chithra juga pernah bekerjasama dengan penyanyi India terkenal, Ustad Sultan Khan dan penyair, penulis lirik serta pengarah filem terkenal India, Gulzar.
Seterusnya, konsert kedua membabitkan Retro Rahman 3.0 yang akan menyaksikan persembahan dari penyanyi legenda seperti Srinivas, Haricharan, Sharanya Srinivas, Rashita Suresh dan Groove Culture Band.
Konsert ketiga disusuli dengan Mojo Live Jam yang menampilkan kumpulan Masala Coffee dan Staccato. Manakala, konsert keempat diadakan sebagai penghormatan kepada SP Balasubramaniam dengan menampilkan anak lelakinya.
Terakhir dan kelima pula membabitkan Malaysian Independent Live Fusion Festival (MILFF) yang menjadi konsert dinanti-nantikan.
Semua tiket boleh dibeli di lokasi konsert atau menerusi www.excitix.com.my.
Source from : Berita Harian
CLICK HERE for more images on FB.